Jika masalah datang pada anda, apa yang anda akan lakukan? Walau apapun
jawapannya, yang pasti lain individu lain tindakan dan reaksinya
terhadap masalah yang mendatang. Sebagai manusia biasa, kita tidak akan
sunyi daripada menerima ujian masalah. Kadang-kadang masalah itu datang
dalam bentuk yang kecil dan ada waktunya ia datang dengan beban yang
besar. Masalah besar ini pula selalu buat kita terduduk dan putus
harapan. Bagi mereka yang lemah semangat, masalah besar inilah yang
selalu membuatkan diri jadi putus asa dan hilang kepercayaan diri.
Sebenarnya masalah itu adalah satu kemestian untuk setiap mereka yang
bergelar manusia. Ini kerana tanpa masalah seseorang itu tidak akan
belajar apa-apa dalam hidup ini. Kerana masalah itulah yang membuatkan
seseorang itu menjadi matang dan teguh dalam menjalani kehidupan ini.
Kata orang masalah itu selalu membuatkan seseorang itu pening kepala.
Tapi sebenarnya pening itu adalah tanda adanya peninggkatan dalam diri.
Memang bukan mudah berdepan dengan masalah dan cabaran hidup ini tetapi
bukan juga susah untuk mencari jalan keluar dari apa-apa pun masalah
yang datang. Pendek kata tidak ada masalah di dunia ini yang tiada jalan
penyelesaiannya. Oleh itu, apabila masalah itu datang jangan lari
tetapi hadapilah masalah itu dengan penuh keberanian dan kebijaksanaan.