Tidak semua sifat tamak itu tidak baik. Umpamanya sifat tamak terhadap
ilmu pengetahuan. Sifat tamak terhadap ilmu pengetahuan sangat
digalakkan kerana itu akan membawa banyak kebaikan. Sebenarnya sifat
tamak terhadap ilmu pengetahuan itu akan mengajar kita agar bersifat
lebih pemurah. Oleh kerana ilmu pengetahuan itu tidak ada had untuk
dimiliki maka ia juga tidak pernah berkurang apabila diberikan kepada
orang lain. Bahkan ilmu pengetahuan itu akan lebih berkembang dan
bertambah apabila ianya diberikan kepada orang lain. Tapi berlainan pula
keadaannya apabila seseorang itu mempunyai sifat tamak terhadap harta
benda. Sifat tamak itu kadang-kadang membentuk sifat kedekut seseorang.
Maklum sajalah harta akan berkurang apabila diberikan kepada orang lain.
Oleh itu adalah lebih baik jika kita mempunyai sifat tamak terhadap
ilmu pengetahuan. Sifat tamak terhadap ilmu pengetahuan menjamin
kemaslahatan hidup kita di dunia dan akhirat.