Cemburu Lumrah Kehidupan | "Kenapa aku ni kuat sangat cemburu?
Aku sering fikir yang bukan-bukan sedangkan dia sentiasa mengakui bahawa
hanya ada aku di hatinya. Kelemahan demi kelemahan diriku, terbongkar
di hadapan mataku sendiri. Maka sedarlah aku bahawa aku hanya budak
mentah yang tidak ada apa-apa keistimewaan untuk dikongsi dengan
teman-teman yang lain," kata hati kepada pemilik hati. Sebagai
penyelesaian, mari kita bongkar apakah rahsia di sebalik rasa cemburu
ini.
Definisi cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih
sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang
yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga
boleh wujud dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak
dengan adik kandungnya.
Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap
orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang
berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa
cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu
pasangan. Mungkin ini ada benarnya kerana jika kita tidak sayang pada
seseorang mengapa mesti kita merasa cemburu terhadapnya.
Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar untuk
dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’
seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan
jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk
dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan
orang lain.
Namun begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu buta’
amat tidak digalakkan kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah
rumahtangga begitu juga ketiadaan langsung sifat cemburu pula sebenarnya
boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh menjadi punca pasangan
‘mudah
dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis cemburu iaitu cemburu yang positif dan cemburu yang negatif.
Bila berbicara tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya
dengan kaum hawa di mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini
sangat kuat cemburunya. Dalam soal ini, sebenarnya sama ada lelaki
mahupun wanita masing-masing mempunyai sifat cemburu. Cuma yang
membezakannya ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah perasaan
cemburu itu berjaya dikawal.
Dalam hubungan suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak
klimaksnya nanti boleh membawa kepada putusnya sesuatu ikatan
perkahwinan itu (bercerai). Dalam hal ini rasa cemburu acapkali
membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang selalu curiga dan
sentiasa berprasangka buruk. Hakikatnya dia sedar bahawa sikap
cemburunya itu kurang menyenangkan pasangannya tetapi dia tidak mampu
mengawalnya. Dia merasakan bahawa apa yang dilakukan semuanya betul dan
sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya hatta perkara
yang kecil sekalipun sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran
yang menggugat kemesraan yang terjalin sebelumnya.
Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan, seseorang itu apabila dapat
melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya, hendaklah bertindak
segera agar tidak merebak. Ikutilah tips berikut tentang bagaimana untuk
mengawal keadaan sekiranya mendapat pasangan yang kuat cemburu.
Jika pasangan kita mula menunjukkan rasa cemburu, jangan terbawabawa
dengan sifatnya itu. Mungkin kita tidak perlu menjawab setiap soalan
yang diajukan. Sebaliknya lebih baik berdiam diri sahaja daripada terus
menyemarakkan kemarahannya.
Anggaplah bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk melukai hati kita. Mungkin ini tidak disedarinya dan jangan ambil hati.
Cuba sedaya upaya untuk membina keyakinan diri padanya. Pujilah pasangan
atau mintalah nasihatnya bila perlu dan sentiasa luahkan perasaan cinta
yang membuktikan bahawa kita menyayanginya. Malah sebaiknya berikanlah
dia sokongan yang berterusan agar dia merasa sentiasa disayangi dan
dihargai.
Jangan membabitkan diri dalam situasi yang boleh membuahkan perasaan
cemburu bagi pasangan seperti suka berfoya-foya, berbual-bual mesra atau
bergurau senda dengan orang lain.
Berbincanglah dengan pasangan tentang perasaannya. Jika kita telah
berusaha sedaya upaya tetapi pasangan tetap tidak boleh mengawal rasa
cemburunya, kaunseling mungkin jalan terakhir untuk menyelamatkan
keadaan.
Lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee telah sedikit sebanyak diselitkan
panduan agar sesebuah perhubungan berkekalan sampai hujung nyawa.
katanya...
‘Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri’
Begitulah antara bait-bait lagu yang menceritakan asam garam kehidupan
dalam rumahtangga. Cinta dan cemburu adalah seperti isi dengan kuku bagi
mana-mana pasangan suami isteri. Yang penting adalah kesederhanaan.
Maksudnya seseorang itu harus mempunyai rasa cemburu terhadap pasangan
tetapi mestilah berpada. Jangan sampai pasangan merasa terkongkong dan
dikongkong.
Sebaliknya jadikanlah rasa cemburu itu sebagai alat untuk dapat
memperbaiki sikap atau mengkoreksi diri sendiri terhadap sikap yang
selama ini diamalkan. Contohnya, bagi seorang isteri mahupun suami,
adakah penampilan atau layanan yang selama ini diberikan memuaskan atau
tidak. Adakah berlaku sesuatu kekurangan dalam diri yang sebenarnya
mampu kita mengadakannya tetapi tidak kita adakan. Dengan sikap ini,
kita akan sentiasa memperbaiki kualiti diri dan sentiasa memberikan
layanan yang terbaik untuk pasangan supaya ia tidak terpikat kepada yang
lain.
Akhirnya, tidak perlu lagi terjadi perbalahan atau pertengkaran yang
hebat antara suami isteri gara-gara sifat cemburu kerana tentu sekali
tidak ada pasangan yang rela diperbodohkan atau diambil kesempatan
akibat ketiadaan sifat cemburu dalam hatinya yang membuatkan dia tidak
peka dengan kehendak sebenar pasangannya.
Dengan itu 'cinta dan cemburu' hendaklah diambil ‘
sesedap rasa’
sebagai perencah kebahagiaan rumahtangga. Cinta biarlah ikhlas dan
cemburu biarlah bertempat. Kata orang, ‘tanpa cemburu rasa cinta terasa
hampa’.
Ingatlah, sesungguhnya ‘Allah SWT Maha Cemburu’. Kenyataaan ini bukanlah
bererti menyamakan atau menyandarkan sifat makhluk pada Dia sebagai
khaliq. Maksudnya sebenarnya apa? Ya, Allah SWT sangat mencintai kita
selaku hamba-hamba-Nya dan Dia akan 'cemburu' jika kita mencintai selain
dariNya. Sesungguhnya Dia sebagai Tuhan, tidak akan mengalami apa-apa
kerugian jika cintaNya tidak berbalas, tetapi kita sebagai hamba
sepatutnya membalas keseluruhan cintaNya. Cuma kita yang tidak
menyedarinya hakikat cinta dan cemburu itu lantaran HATI kita yang telah
‘
TERTAWAN DENGAN ‘CINTA YANG LAIN’!