Khas Buat Wanita....21 Pedoman Untuk Wanita | Kadang-Kadang dalam
kehidupan harian kita sebagai wanita bermacam-macam sikap negatif kita
membuat kaum lelaki terutamanya suami rasa rimas dan menganggap kita
suka membebel walaupun kadang-kadang tu kita membebel ada sebabnya.
Namun, asyik membebel juga, siapa nak tahankan...hehe.
Apa-apa pun kita sebagai wanita terutama yang sudah bersuami haruslah
mengubah sikap-sikap negatif yang ada dalam diri kita bagi kesejahteraan
rumahtangga. Berikut disenaraikan 21 pedoman buat wanita sebagai
panduan dalam meniti hidup berdua.
1. Terima Lelaki Agar Dia Menerima Anda.
Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain
dari 'Terimalah lelaki sebagai sediakala". Terima dia sebagai lelaki.
Yang penting untuk anda mengetahui ialah mengenai lelaki, bukan mengubah
lelaki. Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih
anda atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan yang lain, yang
mungkin tidak anda sukai, dan tidak menyukai anda.
2. Fahamilah Lelaki Agar Dia Memahami Anda
Cuba memahami perangai sedia ada pada seorang lelaki dan menyesuaikan
perangai itu dengan diri anda, adalah lebih baik dari cuba mengubahnya
dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai
itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya.
Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya
dengan diri anda.
3. Berubah Untuk Menikmati Perubahan
Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa
pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian. Kerana insan itu sendirilah
yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk
dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah
sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan
seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.
4. Sanggup Memberi Untuk Menerima
Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah
sanggup memberi lebih banyak dari yang anda sanggup terima dari seorang
lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak dari yang
sanggup anda beri.
5. Percaya Untuk Dipercayai
Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, janganlah anda harapkan lelaki
itu percaya kepada anda. Hidup ini meminta pada yang ada, merajuk pada
yang sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah
perkara mudah, bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda
bukanlah payah. Apabila dia sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula
untuk dia mengubah pendiriannya.
6. Menangkan Lelaki Untuk Menang
Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki., kerana dalam
kehidupan suami isteri, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek
kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami,
kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan meyuarakan. Kuasa
isteri adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya
menyalahgunakan kuasa, maka rumahtangga akan menjadi porak-peranda. dari
itu rujuklah kepada agama untuk menghalusi apakah yang boleh dilakukan
dan apakah yang dilarang.
7. Sifat Negatif Membuahkan Kesan Negatif
Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap suaminya. Ramai juga
yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah-rendahkan
suaminya, membandingkan suaminya dengan lelaki lain, dan memaki hamun
suaminya. Sekiranya anda bersifat sedemikian, walaubagaimana kenalpun
anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah
yang mungkin menjadi sebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak
selesa, banyak berdiam diri, selalu masam muka dan sebagainya lagi yang
tidak menyenangkan diri anda. Andalah yang patut berubah.
8. Bertanggungjawab Akan Menikmati Kesan Tanggungjawab
Sebenarnya tanggungjawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah
walaupun dunia ini menjadi semakin maju. Begitulah juga tanggungjawab
suami kepada isterinya. Selagi anda menjalankan tanggungjawab anda
dengan sempurna sebagaimana yang digariskan olah agama, anda tidak perlu
risau apa pun. Allah akan menempatkan anda dipihak yang benar, dan anda
tidak akan rugi apa-apa.
9. Kritikan Akan Membuahkan Kritikan
Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki itu defensif dan sedaya
upaya ingin mempertahankan dirinya. Ia bahaya kerana melukakan nilai
diri lelaki., menjejaskan rasa kepentingan dirinya, dan menyebabkan dia
rasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkritik anda pula.
10. Beri Lelaki Apa Yang Dia Mahu
Dia akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu.
Ada dua perkara besar yang dimahukan oelh manusia iaitu (1) Kehendak
Seks dan (2) Kehendak untuk menjadi penting. Setiap orang dewasa mahukan
kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga,
rasa dipentingkan dan hidup yang bahagia dunia akhirat. Berilah lelaki
apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan.
11. Tunjukkan Minat Tulen Terhadap Lelaki
Dia akan menunjukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin
dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri atau mengenai
kerjanya, ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih
berminatlah dia kepada anda.
12. Senyuman Itu Tanda Kasih Yang Tidak Perlu Dibayar
Anda tidak perlu membayar apa-apa utnuk senyum pada lelaki yang anda
kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman
yang dilemparkan kepada anda itu, begitu jugalah nikmat yang dirasanya
apabila anda senyum padanya. Senyuman menyebabkan lelaki suka pada
anda.
13. Panggilah Lelaki Dengan Panggilan Manja
Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan
nada yang lembut, begitulah pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya
dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai
wanita.
14. Hormati Dia Sebagai Lelaki
Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk
memahami sikapnya dan bertolak-ansur dengannya, dia juga akan melakukan
perkara yang sama terhadap anda. Wanita patut menghormati lelaki yang
menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan
kehormatan diri sendiri, malah menjadikan diri lebih terhormat.
15. Dengarlah Dengan Baik
Antara masalah besar dalam rumahtangga ialah apabila masing-masing suami
isteri tidak mahu berbincang secara terbuka. Dengarlah dengan baik apa
yang diperkatakan oleh lelaki, nescaya dia akan mendengar pula apa yang
ingin anda katakan.
16. Bercakaplah Tentang Apa Yang Disukai Lelaki
Lelaki tidak suka mendengar celoteh wanita, mengenai hal-hal remeh-temeh
yang biasanya diceritakan oleh wanita kepada wanita. Lebih baik
bercakap perkara yang menjadi kesukaannya dan berkaitan dengan minat
anda untuk membantu kerjayanya atau membantu mempertingkatkan ekonomi
rumahtangga.
17. Katakanlah Bahawa Dia Penting Dalam Hidup Anda
Dia akan menganggap anda penting dalam hidupnya. Antara kesilapan wanita
ialah suka merendah-rendahkan suaminya, atau menganggap bahawa
sekiranya perceraian berlaku, ramai lelaki yang lebih baik sikapnya dan
sifatnya yang sanggup menjadi suami. Mungkin begitu jugalah suami anda
berfikir mengenai anda.
18. Jangan Katakan Penyesalan Mengahwininya
Apabila anda menyatakan penyesalan mengahwini suami, suami anda akan
menyesal mengahwini anda, walaupun dia tidak menyatakannya. Menyatakan
penyesalan berkahwin menunjukkan pendeknya akal anda dan lemahnya anda
dalam menghadapi dugaan hidup. Sepatutnya anda berusaha untuk merasa
gembira mengahwini suami anda.
19. Elakkan Pergaduhan
Ada wanita yang menunggu-nunggu saat suaminya menegurnya atau
menasihatkannya, kerana dia sudah sedia dengan peluru-peluru tohmah dan
kejian serta airmatanya. Untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini
berkaitan rumahtangga, elakkan pergaduhan, dan janganlah anda pula yang
memulakannya.
20. Jangan Menyalahkan, Minta Maaf Bila Bersalah
Sekiranya anda sukar meminta maaf atas kesalahan anda, dan sebaliknya
amat suka mencari kesalahan lelaki, dia akan menganggap bahawa anda
adalah seorang yang keras kepala dan keras hati, sukar dibentuk. Lebih
buruk lagi dia mungkin merasa bahawa dia telah gagal membentuk diri anda
sebagai isterinya, dan mungkin bersebab dari itu, dia cuba mencari
jalan keluar.
21. Hidup Bukan Hanya Di Dunia
Banyak masalah timbul kerana manusia biasanya bertindak dengan akal yang
sempit dan tindakannya berbentuk keduniaan. Kejayaan anda di akhirat
adalah bergantung kepada betapa baiknya anda kepada suami anda dan
betapa bereskah tanggungjawab anda terhadapnya.